BEBERAPA
SANGKAAN TENTANG PUASA
Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin
(sertai facebook DrMAZA.com dan twitter realDrMAZA)
Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin
(sertai facebook DrMAZA.com dan twitter realDrMAZA)
Ada beberapa anggapan, pegangan dan
salah sangka tentang puasa dalam kalangan masyarakat. Mereka menganggap batal
ataupun kurang pahala beberapa perbuatan tertentu, padahal tiada dalil yang
menyokong pendapat mereka. Sebahagian pendapat itu khilaf dan telah disebut
oleh beberapa ahli fekah dahulu, tetapi dilihat tidak kukuh untuk dipegang
ataupun ada ruang untuk disemak semula.
Mandi Masa Puasa
Antaranya, anggapan bahawa mandi
ataupun basuh kepala apabila terlalu keletihan mengurangkan pahala puasa. Ada
pula yang bertegas semasa puasa mandi selepas asar makruh. Ini tidak disokong
oleh riwayat yang menunjukkan Nabi s.a.w mencurahkan air ke atas kepala baginda
ketika berpuasa kerana terlalu panas ataupun dahaga. Dalam hadis sahih yang
diriwayatkan oleh Imam Malik di dalam al-Mawata’, Ahmad dan Abu Daud di dalam
sunannya, Abu Bakar bin Abd al-Rahman meriwayatkan:
“Telah
berkata sahabat yang menceritakan kepadaku: “Aku melihat Rasulullah s.a.w. di
al-`Arj (nama tempat) mencurahkan air ke atas kepala baginda ketika baginda
berpuasa disebabkan dahaga atau panas.”
Memasukkan Ke Rongga
Antara anggapan lain ialah menyatakan
semasa puasa tidak boleh memasukkan apa-apa benda ke dalam mata, telinga dan
mulut, sekalipun bukan makanan dan minuman. Ini menyebabkan mereka yang gatal
telinga ataupun hidung menderita sepanjang hari berpuasa. Ia berlawanan dengan
sifat Islam yang mudah. Ada yang melarang bercelak kerana bimbang masuk ke
dalam rongga. Pegangan ini asalkan berasas riwayat kenyataan Ibn ‘Abbas:
“Membatalkan
puasa itu apa yang masuk, bukan apa yang keluar” (riwayat Ibn Abi Syaibah, sahih).
Namun, itu merupakan ulasan Ibnu
‘Abbas kepada mereka yang berbekam bagi menunjukkan ia tidak membatalkan puasa. ‘Apa yang masuk’ bermaksud makanan ataupun minuman
ataupun yang mempunyai fungsi yang sama seperti makanan dan minuman yang masuk
ke dalam jasad. Jika sekadar alatan tentu maka ia tidak termasuk dalam maksud
ini. Jika tidak mereka yang memasukkan berus gigi ataupun kayu sugi ke dalam
mulut, ataupun berkumur semasa puasa tentu dianggap batal.
Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah
(meninggal 728H) dalam Majmu al-Fatwa, setelah menyebut tentang khilaf ulama,
beliau menjelaskan puasa merupakan amalan setiap muslim. Jika perbuatan seperti
bercelak yang memang diamalkan secara meluas semasa zaman Nabi itu membatalkan
puasa, tentu baginda s.a.w akan menerangkannya. Juga tentu para sahabah akan
bertanya mengenainya. Namun, apabila tiada hadis sahih tentang hal itu, maka
menunjukkan memakai celak tidak membatalkan puasa. Demikian juga tentang
mencium wangian, menyapu minyak di badan dan seumpamanya.
Maka menggunakan eye drops yang
sedikit dan tidak menyebabkan ia mengalir ke kerongkong dan seterusnya adalah
dibolehkan. Demikian juga memakai minyak rambut dan minyak urut sekalipun sifat
minyak itu mudah meresap ke dalam kulit.
Tidak Mandi Junub
Antara lain ialah menganggap tidak
sah puasa mereka yang belum mandi junub sedangkan waktu subuh sudah masuk. Ini
berkaitan seseorang yang bersetubuh dengan isterinya, ataupun keluar air mani
tetapi belum mandi junub sehingga masuk waktu subuh iaitu waktu berpuasa. Ertinya
ketika dia mandi wajib, waktu subuh telah masuk. Ada yang menganggap puasa itu
tidak sah. Padahal dalam hadis yang diriwayatkan oleh ‘Aishah dan Ummu Salamah
bahawa Nabi s.a.w pada waktu pagi (subuh) dalam keadaan berjunub sedangkan
baginda berpuasa. Baginda berpuasa dan tidak berbuka (disebabkan hal itu)”
(Riwayat al-Bukhari).
Muntah
Antara lain ada yang menganggap
sesiapa yang termuntah maka batal puasa. Sebenarnya, di sana ada perbezaan
antara termuntah dan sengaja muntah.
Dalam
hadis, Nabi s.a.w bersabda:
“Sesiapa
yang termuntah tidak wajib qada (ganti puasa). Sesiapa yang sengaja muntah,
hendaklah dia qada”. (Riwayat al-Tirmizi, Abu Daud, Ibn Jarud dan Ibn Hibban).
Maka sesiapa yang termuntah kerana
tidak tahan dengan sesuatu bau ataupun mabuk perjalanan tidak wajib qada kerana
puasanya sah. Sesiapa yang memaksa diri untuk muntah maka dia wajib
menggantikan puasanya.
Imsak
Antara lain menganggap sesiapa yang
makan ketika hampir subuh iaitu bukan pada waktu imsak yang difahami oleh
sesetengah pihak, maka puasanya tidak sah. Ini kerana mereka menganggap puasa
bermula beberapa puluh ataupun belasan minit sebelum subuh. Padahal waktu puasa
bermula apabila masuknya waktu subuh. Firman Allah: (maksudnya)
“Makan
dan minumlah kamu sehingga ternyata benang putih dari benang hitam dari waktu
fajar, kemudian sempurnakanlah puasa sehingga waktu malam” (Surah al-Baqarah:
187). Sabda Nabi s.a.w pula: “Makan dan minumlah sehingga Ibn Ummi Maktum azan,
kerana beliau tidak akan azan melainkan setelah masuk waktu fajar (subuh)”
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Musafir
Antara anggapan lain bahawa seseorang
yang bermusafir jika berkemampuan wajib berpuasa, jika tidak dia berdosa. Ini
berlainan dengan ayat Allah dalam al-Quran: (maksudnya)
“..dan
sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah dia berbuka dan ganti)
pada hari-hari yang lain. Allah mahu kamu beroleh kemudahan, dan Dia tidak mahu
kamu menanggung kesukaran” (Surah al-Baqarah: 185).
Hamzah bin ‘Amr al-Aslami bertanya
Rasulullah s.a.w:
“Wahai
Rasulullah! Aku dapati aku mempunyai kemampuan untuk berpuasa ketika musafir,
adakah itu satu kesalahan ke atasku? Jawab Nabi s.a.w: “Ia adalah rukhsah
(kelonggaran) daripada Allah, sesiapa yang mengambilnya (tidak berpuasa ketia
musafir) maka sesuatu yang baik, sesiapa yang suka untuk berpuasa maka tiada
salah baginya”. (Riwayat Muslim).
Tidak Sengaja
Perbuatan yang tidak sengaja, dipaksa
ataupun terlupa seperti makan dan minum tidak membatalkan puasa. Sekalipun
seseorang itu telah makan dan minum dengan banyak sekali. Sabda Nabi s.a.w:
“Sesiapa
yang lupa sedangkan dia berpuasa, lalu dia makan atau minum, maka
sempurnakanlah puasanya. Sesungguhnya Allah yang memberikan dia makan dan
minum” (Riwayat al-Bukhari).
Demikianlah semua perbuatan yang
tidak sengaja ataupun terlupa. Termasuk terkeluar air mani disebabkan mimpi
atau terfikir secara yang tidak diusahakan. Jumhur ulama menyatakan tidak batal
puasa. Di samping di sana wujudnya pendapat minoriti ulama Ibn Hazm,
al-San’ani, as-Syaukani dll yang berpendapat keluar mani walaupun dengan
sengaja ia tidak membatalkan puasa sebab tiada dalil mengenai hal itu. Adapun
majoriti ulama berpendapat batal.
Apapun, sesuatu perbuatan yang tidak
disengajakan tidak membatalkan puasa. Termasuklah tertelan air semasa mandi
ataupun hujan ataupun suri rumah yang terbiasa merasa makanan ketika masak lalu
memakannya kerana lupa, kesemua itu tidak membatalkan puasa.
Di sana ada lagi beberapa anggapan
yang perlukan penelitian sebelum diterima sebagai suatu keputusan agama.
* Artikel ini tersiar di “Kolum Dr Asri – Yahoo News Malaysia”
No comments:
Post a Comment